Kampung buku Langkawi... apa dah jadik?



Pertama kali aku sampai di Langkawi antara tempat yang aku ingin pergi adalah Kampung Buku Langkawi yang terkenal itu. Aku dan teman sejiwa puas berpusing di jalan yang sama sebab tidak ada tertulis di mana-mana papan di tepi jalan sebagai panduan arah ke Kampung Buku Langkawi. Lalu kami main belasah masuk ke satu lorong yang sangka kami akan bawa kami kepada kawasan berkelah. Terkejutnya aku bila mendapati di sebelah kawasan berkelah itu adalah bangunan yang tak terjaga , seperti rumah tinggalan orang itu adalah rumah kampung buku. Aku tak punya kamera nak merakam kampung buku yang aku temui ini. Gambar yang di atas adalah gambar yang aku dapat daripada blog Dr. Haji Hamdan Mohamed Khalib Adun Tanjung Dawai. Gambar isi dalam rumah tersebut . Menyedihkan. Tidak terjaga mahupun terurus. Sesuai kalau siapa-siapa mahu buat lokasi drama atau filem hantu di sini. Boleh bagi tajuk Hantu buku mengamuk . Berikut artikel tentang kampung buku Langkawi 2 tahun sudah....

ARKIB : 11/04/2007Utusan Malaysia

Menghidupkan semula Kampung Buku Langkawi

Oleh MOHAMAD ABDULLAH

KAMPUNG Buku pertama di negara ini dibuka di Lubuk Semilang, Langkawi pada 3 Disember 1997 oleh Perdana Menteri, ketika itu Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Penubuhannya adalah dari buah fikiran seorang yang terkenal sebagai ulat buku di negara ini, Tan Sri Sanusi Junid, ketika itu Menteri Besar Kedah.

Ia adalah hasil lawatannya ke beberapa buah Kampung dan Bandar Buku, antaranya Hay-on-Wyne di Wales United Kingdom, yang terkenal dan terawal ditubuhkan oleh Richard Booth pada tahun 1961 dan Redu di Belgium, Bredevoort, Netherlands yang bermula pada 1993.

Hari ini terdapat lebih 40 buah Kampung dan Bandar Buku di dunia yang berkembang pesat dengan keupayaan menarik jutaan peminat buku dari seluruh dunia. Ia dihubungkan pula melalui sebuah organisasi yang dikenali sebagai International Organisation of Book Towns (IOB). Bandar Buku terkenal di dunia termasuklah di Montereggio, Itali, Sedberg England, Fjaerland dan Tvedestrand Norway, Wigtown Scotland dan Wunsdorf, Jerman.

Bezanya ialah kebanyakan Kampung Buku atau Bandar Buku ini terletak di kawasan yang didiami penduduk dengan kemudahan-kemudahan yang dapat dinikmati bersama. Manakala di Langkawi istimewa kerana Kampung Buku dibina di kawasan berlatarbelakangkan alam yang sungguh tenang, pokok-pokok dan air terjun terkenal sebagai kawasan riadah dan rekreasi.

Ia terletak di kawasan seluas kira-kira 202 hektar dengan tumpuan kepada kira-kira 14 hektar di Hulu Melaka, Langkawi. Ia menempatkan pada awalnya enam buah bangunan kemudiannya dibina sembilan lagi rumah yang dirancang sebagai galeri seni, kedai buku dan kafeteria.

Misinya amat murni iaitu untuk memupuk budaya Iqra’ di kalangan rakyat negara ini dan sekali gus menjadi pusat tumpuan penjualan buku terpakai serta sebagai produk pelancongan yang dapat menarik 25 juta pencinta buku sedunia ke Langkawi.

Pada akhirnya Kampung Buku ini dihajati menjadi sebuah Pusat Ilmu dan Pusat Pemangkin Penulisan Buku.

Malah, ketika berucap di majlis perasmiannya, Tan Sri Sanusi turut melontarkan harapan untuk menubuhkan Langkawi University of Tomorrow yang bertujuan mengkhususkan kepada pengajian maritim dan aeroangkasa serta mengharapkan agar Langkawi dapat menjadi pusat edaran buku Asia.

Hari ini, papan tanda ke Kampung Buku Langkawi telah dicabut. Rumah yang masih beroperasi dalam keadaan yang agak menyedihkan walaupun bukunya agak banyak. Pemandu teksi sudah tidak tahu wujudnya Kampung Buku Langkawi, jauh sekalilah agaknya para pemandu pelancong. Sembilan buah rumah yang disiapkan kemudiannya semakin uzur.

Namanya, walaupun masih terdapat dalam laman web pelancongan, cukup memalukan untuk mengundang para peminat buku dunia mengunjunginya. Dalam dingin air terjun dan kedamaian rimbanya, Kampung Buku Langkawi tidak lagi mempunyai apa-apa yang boleh menggamit pengunjung ke sini.

Kawasan yang dahulunya pernah dinobatkan sebagai pemenang anugerah pertama Taman Pertanian/Hutan Lipur Peringkat Kebangsaan dalam Pertandingan Landskap 1999 kini semakin lesu dan terbiar. Kampung Buku yang diusahakan oleh Yayasan Kampung Buku Malaysia ini dikatakan mula terbiar apabila Tan Sri Sanusi Junid tidak lagi menjadi Menteri Besar Kedah.

Mujurlah, Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah kini tampil untuk melakukan pembaikan dan memajukan. Pertemuan kira-kira 100 orang dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta yang baru-baru ini dijemput untuk membincangkan tentang masa depan Kampung Buku Langkawi adalah langkah terpuji.

Gesaan Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid untuk memulihkan Kampung Buku Langkawi harus disusul dengan gerak kerja segera, paling tidak menjelang Disember ini - 10 tahun selepas gegak gempita perasmiannya dahulu.

Acara-acara bercorak keilmuan, daripada bacaan buku, membawa kanak-kanak sekolah menghayati buku, sains dan alamnya, membanyakkan kembali buku-buku dan mempromosikan secara terancang dalam peta pelancongan Langkawi wajar dilakukan segera.

Aktiviti yang rancak dilakukan dahulu seperti acara seni dan budaya, diskusi ilmiah secara santai, teater, pertandingan catur dan lain-lain sebagai acara mingguan atau harian tentu dapat membantu mengembalikan kemeriahannya.

Barangkali cadangan melantik pihak swasta mengendalikannya dengan pelan korporat yang lengkap, memajukan sebagai pelancongan alam, menyediakan kemudahan yang lebih baik.

Orang yang dilantik mengetuai operasi ini seharusnya berpandangan jauh, cintakan buku dan ilmu pengetahuan, mempunyai jaringan perhubungan yang luas serta mempunyai otak perniagaan yang dapat memasarkannya ke pentas dunia.

Yayasan Kampung Buku Malaysia memaklumkan Melaka akan membuka Kampung Buku pada hujung bulan ini, diikuti dirancangkan di Johor, Kelantan dan Kampus UIAM, Gombak.

Kampung Buku sewajarnya menjadi budaya kita dalam memartabatkan ilmu dan memastikan rakyat negara ini sentiasa menjadikan buku sebagai wadah ilmu yang utama. Ia mampu menyemai budaya Iqra’ sebagai satu tuntutan agama.

Pengalaman Kampung Buku Langkawi harus diambil kira dalam membangunkan mana-mana Kampung Buku di negara ini.

Yang penting ialah memastikan bahawa Kampung Buku dapat menjadi tarikan pelancong ilmu dari dalam dan luar negara kebanggaan negara selaras dengan hasrat Perdana Menteri melahirkan sumber manusia minda kelas pertama.

* MOHAMAD ABDULLAH ialah Timbalan Pendaftar Universiti Sains Malaysia.

Aku tak nampak apa-apa usaha pun yang dilakukan pihak berkenaan untuk memulihkan Kampung Buku. . Sayang sungguh nasib Kampung Buku Langkawi. Sebuah kampung buku yang pertama di Malaysia baru berusia dua belas tahun . Kalau budak sudah boleh ambil UPSR. Sudah celik IT , pandai bercakap itu dan ini . Sudahnya dibunuh lebih awal. Dinafikan haknya untuk membesar . Ah rugi sungguh.

3 comments:

Sofira berkata...

salam ziarah. :)

cafiena berkata...

saya baru tahu kewujudannya, dan sekarang saya sedih ia jadi begini..

Tanpa Nama berkata...

Untuk pengetahuan anda, kampung buku sekarang dalam usaha untuk penambahbaikannya...salah satu firma di alor setar, kedah telah pun ditugaskan untuk merekabentuk bangunan2 yang terdapat disitu. bangunan2 lama akan dirobohkan dan dibina semula untuk sambutan kg buku sedunia pada 2012 akan datang. Nescaya kali ini lebih cantik rekabentuknya...semuanya berkonsep tradional moden..:)