Hafalan solat Delisa






Siapa yang ingat pada umur berapa kita dapat solat dengan bacaan yang cukup dan lengkap? Adakah kisah disebalik kita berjaya menghafal bacaan dalam solat?

Ini cerita Delisa dan hafalan solatnya. Delisa anak manja dalam keluarga. Liat sungguh bangun solat subuh . Jenuh digerak kakak-kakaknya. Perwatakannya ceria tambah menghiburkan keluarga dan siapa sahaja yang mengenali Delisa.Sudah menjadi tradisi keluarga setiap anak Umi dan Abi yang berjaya menghafal bacaan solat akan mendapat hadiah seutas kalung emas. Delisa jadi lebih bermotivasi menghafal bacaan solat demi mendapatkan kalung emas yang dibeli bersama umi di kedai emas Koh Acan.

Delisa berjaya menyentuh hati umi dengan ucapan Delisa cinta Umi kerana Allah. Umi mana lah yang tak tersentuh jiwa dengan ucapan manis begitu daripada anak kecilnya? Terima kasih kepada Ustaz Rahman yang menyuruh anak-anak yang boleh bercakap saya cinta umi atau abi kerana Allah akan diberi ganjaran coklat. Anak-anak mana pula yang tak tertarik dengan coklat? Mulanya kerana sebatang coklat namun hati Delisa jadi semacam bila melihat Umi bahagia dengan ucapan itu. Delisa akan terus terang pada Umi pada waktu yg lain.

Saat Delisa membaca hafalan solatnya , ada kejadian besar yang berlaku.

Ya.

Kita boleh belajar tabah daripada kanak-kanak. Bila rasa hidup ini susah.

Kita boleh belajar untuk tersenyum daripada kanak-kanak. Bila hati kita dalam kesedihan.

Kita boleh belajar daripada kegigihan anak-anak kecil. Saat kita rasa mahu putus asa.

Kalau berasa hidup ini payah lihatlah kanak-kanak. Kita juga pernah menjadi kanak-kanak. Ke mana perginya kanak-kanak yang pernah kita jadi dahulu ? Saya pasti mencari karya-karya Tere Leye yang lain. Saya puas hati dengan Hafalan Solat Delisa.

0 comments: